UMNO telah terbukti bukan hanya sebagai parti politik yang mendukung perjuangan bangsa, agama dan negara semata-mata tetapi ia juga adalah parti yang telah menjadi model dan contoh kepada parti-parti lain di peringkat antarabangsa.
Ini diperkukuh oleh delegasi asing yang berkunjung untuk mengikuti Perhimpunan Agung UMNO dan sebelumnya menyertai forum antarabangsa yang diadakan sempena persidangan tersebut iaitu Dr. Salah Ali Mohd Abdulrahman dari Bahrain.
"Ini kali pertama menghadiri forum tetapi kali kedua menghadiri Perhimpunan Agung UMNO selepas tahun lalu dan saya melihat Malaysia ialah model terbaik dan contoh dalam menunjukkan kehidupan harmoni dengan multi budaya, pelbagai etnik, pelbagai agama dan pelbagai bangsa.
"Masyarakat di sini tidak saling mempersoalkan antara satu sama lain tetapi menunjukkan rasa hormat dan menerima setiap individu biar pun berlainan parti politik. Dalam hal lain, saya fikir kekuatan bangsa Malaysia ini adalah UMNO sendiri yang menjadi penaung sebagai parti politik," katanya.
Beliau turut kagum dengan perkembangan UMNO biarpun sudah lebih 65 tahun ditubuhkan dan mengekalkan kemerdekaan sejak 54 tahun, tetapi masih terus memikirkan perkembangan bagi membina negara bangsa untuk rakyat Malaysia keseluruhannya.
"Hari ini semua negara berubah dan kita tidak boleh tolak perubahan atau berdepan dengan pelbagai krisis sama ada krisis politik, krisis sosial dan krisis ekonomi, tetapi Malaysia melalui UMNO berjaya membuat perubahan malahan mempunyai pelan strategik untuk jangka masa panjang masa termasuklah Wawasan 2020, belanjawan negara, pelan untuk tingkatkan pendapatan perkapita dan sebagainya," katanya.
Kenyataan tersebut turut diakui oleh delegasi dari Madagascar yang diketuai oleh Penasihat Khas Kebangsaan Parti Liberal dan Demokrasi Mamafisoa, M.Rakotonirainy Zaka.
"Saya sangat bangga dan gembira dapat berada di tengah-tengah kegemilangan dalam lakaran sejarah yang dilakukan oleh UMNO malahan program yang dijalankan sangat teratur, kemas, dan ianya adalah antara program terhebat di dunia," katanya.
Turut sama memberikan persetujuan berkaitan UMNO ialah ketua delegasi dari Parti Komunis China, Mr. Sun Gan yang sangat teruja dengan perjalanan program termasuklah ucaptama yang disampaikan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam forum antarabangsa.
"Sangat teruja dengan ucapan Presiden parti yang menceritakan kisah perjuangan parti lebih 60 tahun lalu atas perjuangan nasionalisme," katanya.
Jika sebelum ini ada pihak yang menunding jadi dan memandang rendah pada UMNO, tetapi dengan berlangsungnya acara yang membabitkan negara-negara asing maka tentunya akan menafikan tuduhan mereka.
Realiti sebenar UMNO dikaburkan oleh pihak tertentu iaitu sebagai parti yang terbesar dan menjadi teras pemerintahan negara dengan jumlah kerusi yang terbanyak dan pemimpin-pemimpinnya berperanan dalam membuat dasar-dasar untuk kesejahteraan semua.
Ia adalah antara parti bercorak demokratik yang tertua di negara-negara membangun dan masih kuat kedudukannya setelah melalui berbagai peristiwa dan cabaran selain dihormati oleh kawan dan lawan di atas prinsip-prinsip keadilannya, ketegasan dan keupayaannya menjalankan dasar-dasar yang telah dipersetujui.
Secara simboliknya, UMNO adalah lambang sebuah bangsa yang berjaya membentuk satu kesatuan, perpaduan, mengusir penjajah dan perjuangan untuk kemerdekaan di samping pengisian untuk sebuah negara mundur menjadi gagah merentas masa.
Lahirnya UMNO adalah hasil dari percantuman pertubuhan-pertubuhan Melayu dengan berbagai aliran falsafah dan pendapat tetapi bersetuju mengambil tindakan bersama untuk survival bangsa Melayu.
Berhadapan dengan rancangan Malayan Union yang dibawa oleh British selepas Perang Dunia Yang Kedua, pertubuhan-pertubuhan ini dengan sukarelanya membubar diri masing-masing demi membuka jalan kepada sebuah parti politik yang ulung sebagai pernyataan hasrat semua golongan dan lapisan masyarakat Melayu bagi memperjuangkan hak-hak mereka.
Di bawah rancangan British, dasar pro-Melayu sebelum Perang akan dirombak sekaligus, dan orang-orang Melayu sebagai penduduk asal negara ini terpaksa bersaing dengan orang-orang mendatang, iaitu suatu kejadian yang tidak diduga sama sekali oleh mereka kerana sepanjang penjajahan British mereka diberi perlindungan dari ancaman golongan-golongan tadi di samping jaminan bahawa ini adalah negeri Melayu yang diperintah bagi pihak Raja-Raja Melayu.
Rancangan Malayan Union yang dipaksakan ke atas mereka tanpa sebarang rundingan adalah amat menggemparkan. Jika sebelum ini orang-orang Melayu berpecah-pecah dengan berbagai sentimen kenegerian dan pemandangan yang sempit, sekarang mereka yang mula melihat realiti di depan mereka, telah bangkit menentang rancangan itu.
Kebangkitan ini merupakan reaksi yang spontan dengan orang-orang Melayu bersatu hati dan tenaga agar kedudukan mereka terpelihara.
Penubuhan UMNO pada 11hb Mei 1946, dengan Dato Onn bin Jaafar sebagai pemimpinnya yang pertama dapat dikatakan sebagai mengelak orang-orang Melayu di Tanah Melayu dari tenggelam di bawah satu perkembangan politik dan ekonomi yang begitu deras dan menguntungkan golongan-golongan lain yang lebih maju.
Nasionalisme Melayu sebelumnya agak malap kerana wujudnya penduduk berbilang kaum sebagai faktor penghalang, penekanan oleh penjajah, tendensi masyarakat Melayu untuk berpecah-belah mengikut negeri, ketiadaan kesedaran politik yang meluas serta terdapat kemakmuran ekonomi yang membolehkan kehidupan sederhana kepada sebilangan besar rakyat.
Semangat kebangsaan Melayu yang baru meletus secara meluas itu perlu untuk menjaga keutuhan masyarakat yang sejak beberapa lama merupakan penduduk asal kepada kawasan ini. Seluruh penentuan hidup di negara ini sekarang ada hubungan langsung atau tidak langsung dengan nasionalisme Melayu.
Tetapi nasionalisme ini bukan suatu yang sempit kerana telah diperluaskan untuk merangkumi lain-lain kaum demi perpaduan dan kestabilan negara.
Di peringkat awal pergerakan ke arah kemerdekaan adalah disedari tidak mungkin bagi sesuatu kaum memaksakan politiknya dan menolak kenyataan hadirnya kaum-kaum lain yang juga berhak untuk menyertai dalam politik negara.
Usaha-usaha dibuat bagi mengeratkan kerjasama di antara kaum sehingga tertubuhnya Perikatan UMNO-MCA pada awal 1952 bila kedua-dua parti ini bertanding dalam pilihanraya Perbandaran Kuala Lumpur. Kemenangan telah diperolehi oleh kedua-duanya dan ini membawa kepada kerjasama yang lebih jauh menjelang kemerdekaan.
Pada tahun 1955 bagi menghadapi pilihanraya umum yang pertama, Perikatan UMNO-MCA-MIC telah diwujudkan sebagai lambang permuafakatan dan kerjasama yang rapat antara kaum-kaum.
Dengan pimpinan Tunku Abdul Rahman Putra, kemenangannya yang cemerlang telah diperolehi. Maka jelaslah kepada pihak penjajah bahawa kaum-kaum di Tanah Melayu adalah bersatu hati dan boleh merdeka.
Lantas, seterusnya UMNO berkembang bersama pembangunan dan permodenan negara bersama masyarakat yang telah jauh meninggalkan kadar buta huruf apabila tahap pendidikan meningkat malah hampir sama dengan negara-negara maju lain di peringkat antarabangsa.
Atas perkembangan yang lebih 65 tahun memberikan khidmat bakti kepada rakyat keseluruhannya, sesungguhnya UMNO bukanlah sekadar sebuah parti politik semata-mata sebaliknya ia adalah lambang sebuah bangsa, tulin dalam perjuangan berteraskan agama dan kedaulatan negara terus terpelihara.
– MediaUMNO
Sent by DiGi from my BlackBerry® Smartphone