Sarawak perlu pakar kata Taib Mahmud

Usaha itu penting untuk mengkaji impak sosial di kawasan SCORE

LONDON: Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (SCORE) bukan sahaja memerlukan pekerja berpengetahuan dalam bidang teknikal, malah pakar sains sosial bagi mengkaji implikasi pembangunan ke atas masyarakat negeri itu, kata Ketua Menteri Sarawak Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

Beliau berkata kebanyakan pembangunan sosial asas seperti industri berat atau industri baharu termasuk pembangunan tenaga boleh diperbaharui dan bioteknologi di Hab Halal, memerlukan kajian masyarakat sebagai sebahagian daripda proses pembangunan menyeluruh SCORE.

“Jangan hanya menjalankan kajian mengenai sains politik, namun patut juga menimbang menjadikannya lebih mesra sosial serta komunikasi lebih menyeluruh,” katanya pada majlis makan tengah hari penuntut Sarawak bersama Ketua Menteri Sarawak, di sini pada Sabtu.

Taib berkata keupayaan untuk membangunkan konsesus seperti mendapatkan masyarakat Penan dan kaum Asli lain bersetuju untuk dipindahkan ke penempatan baharu untuk melaksanakan projek hidroelektrik, impak serta memastikan mereka berpuas hati terhadap persekitaran baharu, sangat penting.

Beliau berkata impak projek ini memerlukan khidmat sains sosial, pemahaman yang baik terhadap amalan manusia dan kemahiran untuk membuat perubahan yang melibatkan semua pemegang kepentingan yang berkitan untuk melibatkan diri serta bersetuju mengikut perubahan.

“Malaysia juga kekurangan peguam “paten” memandangkan banyak pelaburan menyuntik kandungan pengetahuan yang luas untuk pembangunan teknologi aplikasi,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mohd Morshidi Abdul Ghani, Penasihat Khas di Pejabat Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem dan Pengerusi Eksekutif Pembangunan Hab Halal Tanjung Manis Datuk Norah Tun Abd Rahman.

Lebih 30 penuntut yang hadir pada majlis itu turut mengemukakan pelbagai soalan, khususnya mengenai ekonomi, pekerjaan, sukan dan infrastruktur awam di Sarawak.

Ditanya mengenai kurangnya perancangan mengenai sistem pengangkutan di negeri itu seperti kawasan Kuching, Taib berkata: “Ekonomi yang menguntungkan dari segi kos tidak mencukupi dan oleh itu kita tidak boleh mengadakan sistem

pengangkutan di Kuching kecuali pendapatan sebenar kira-kira RM1,000 selain mempunyai lebih sejuta penduduk di bandar raya itu.

Beliau berkata Sarawak adalah negeri yang terlalu besar sedangkan bilangan penduduknya sangat kecil selain terdapat lebih 5,000 penempatan yang terletak kira-kira 30 batu antara satu sama lain.

“Penduduk Sarawak dan taraf hidup mungkin mengambil masa 10 tahun dari sekarang untuk merealisasikan 2020. Itu sebab mengapa kita mahu menjadi negara maju menjelang 2020, bukan esok atau tahun depan, kita tahu kemampuan kita,” katanya.

Delegasi pegawai kanan kerajaan negeri yang diketuai Taib akan menyertai pelbagai acara penting termasuk Forum Pertama Pemasaran dan Penjenamaan Islam Global Oxford. — Bernama

SUKAHAM patut ambil inisiatif sendiri tentang isu kaum Penan

KUCHING: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) seharusnya mengambil inisiatif untuk menyiasat sendiri dakwaan wanita dan gadis Penan dirogol tanpa perlu menunggu laporan rasmi dikeluarkan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lintang, Voon Lee Shan berkata kenyataannya sekarang kes itu kini menjadi isu hangat di kalangan termasuk Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR), menunjukkan suruhanjaya itu perlu bertindak.

“SUHAKAM mesti menyiasat dan tidak perlu menunggu laporan rasmi kerana berita-berita ini hangat diperkatakan dan dibangkitkan di Parlimen sebelum ini,” katanya mengenai kes rogol terbaru membabitkan gadis dan wanita kaum berkenaan.

Jumaat lepas Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaluddin membuat laporan polis di Balai Polis Satok. Dalam konteks itu Zuraida bertindak selaku presiden Institut Penyelidikan Pembangunan dan Kemajuan Wanita (WIRDA) dan Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Sebelum membuat laporan polis, beliau dan rombongannya yang turut disertai ADUN Pending (DAP) Violet Yong, Ketua Wanita PKR Sarawak, Ibi Unding dan timbalannya Nurhanim Mokshen mengadakan dialog dengan polis hampir sejam.

Sejurus selepas sesi dialog itu Ketua Jabatan Siasatan Jenayah SAC II Huzir Muhamed berkata beliau gembira dengan hasil dialog itu kerana pada pandangannya, pemimpin-pemimpin pembangkang berpuas hati dengan penjelasan mengenai usaha polis menyelesaikan isu tersebut.

Beliau turut mendedahkan bahawa polis telah menghantar kumpulan penyiasatnya ke Ulu Baram untuk mendapatkan maklumat daripada mangsa berdasarkan maklumat daripada sebuah buku “A Wider Context Of Sexual Exploitation Of Penan Women and Girls in Middle and Ulu Baram Sarawak”.

“Kita telah menghantar orang kita untuk bertemu dengan mangsa di Ulu Baram selepas kami (polis) sendiri membuat laporan polis bagi membolehkan kami memulakan siasatan awal setelah buku tersebut melaporkan insiden berkenaan, tetapi kami tidak dapat bertemu dengan mangsa,” jelasnya kepada pemberita.

Voon yang juga bekas pegawai polis, turut menggesa Suhakam membuat siasatan berhubung dakwaan mengatakkan polis kurang efisien (terhadap kes berkenaan).

PM Najib optimis kemajuan Sarawak


KEK 1MALAYSIA: Najib bersama tetamu kehormat lain melihat kek 1Malaysia sekali gus bagi meraikan hari jadinya, sempena Majlis Makan Malam Pemimpin Bersama Rakyat di Stadium Tertutup Miri pada 23/7/2010.
MIRI: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak optimis Sarawak akan terus mengalami pertumbuhan ekonomi yang pesat sekali gus muncul sebagai negeri maju walaupun berhadapan dengan kekangan kemudahan.

Beliau yakin negeri ini akan terus alami pertumbuhan ekonomi pesat

Beliau berkata, pada masa ini kemajuan ekonomi di negeri ini masih belum mencapai tahap yang sebenar kerana rangkaian pengangkutan yang tidak mencukupi, sekolah yang kekurangan dana dan bekalan perkhidmatan yang tidak mencukupi.

“Namun saya kagumi Sarawak kerana negeri ini telah mengalami pertumbuhan yang sungguh berkesan.

“Sehubungan ini, Sarawak akan terus diberi bantuan kerajaan untuk mencapai potensi yang sebenarnya,” katanya.

Najib berkata demikian pada Majlis Makan Malam Pemimpin Bersama Rakyat di Stadium Tertutup Miri malam kelmarin.

“Oleh sebab itu saya telah memperluas bantuan kewangan kerajaan Pusat kepada pihak berkuasa tempatan di Sarawak dan melalui lawatan, saya dapat melakukan keputusan langsung mengenai bantuan yang patut diberi di kawasan yang dilawati.

“Dana serta pelaburan masa hadapan akan disampaikan secepat mungkin di kawasan yang memerlukan bagi digunakan melaksanakan projek prasarana, bekalan perkhidmatan oleh pihak berkuasa tempatan serta untuk penambahbaikan peluang pendidikan terutamanya di kawasan luar bandar,” katanya.

Ujar Najib, kerajaan pusat dan negeri melalui Rancangan Malaysia Ke-10 telah melakar dan mengenal pasti isu serta inisiatif yang mampu melonjakkan Sarawak dengan kelengkapan kemudahan asas, pendidikan dan perniagaan yang kesannya akan dirasai bermula tahun depan.

Namun untuk melaksanakan semua rancangan itu, negara memerlukan pertumbuhan ekonomi sekurang-kurangnya enam peratus setiap tahun agar lebih banyak pelaburan dari negara asing dapat masuk dengan pendapatan itu dapat digunakan membina lebih banyak jalan.

Dalam pada itu, Najib turut memuji peranan Miri yang terkenal dengan industri gas dan petroleum berada di kalangan bandar yang berkedudukan strategik bersama bandar lain di Sarawak berikutan peranannya yang penting dalam kemajuan ke pada negeri serta negara ini.

“Miri cukup terkenal di kalangan pelancong sebagai destinasi ke Taman Negara Mulu yang telah dikategorikan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO dan juga pelbagai tarikan flora dan fauna yang ada di sini.

“Ini diimbangi pula dengan perniagaan dan perindustrian yang kukuh seperti penempatan syarikat-syarikat minyak dan gas antarabangsa seperti Haaliburton, Nippon Oil dan Baker Hughes,” katanya.

Lebih 5,000 penduduk Miri menghadiri majlis yang dimulakan dengan persembahan gendang Cina yang disertai kira-kira 50 peserta selain persembahan kebudayaan 1Malaysia yang disertai pelbagai kaum yang terdapat di negeri ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan dan Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal serta dif-dif kenamaan lain.

Jabu pembela utama kaum Penan di Sarawak

LONG BERUANG, MIRI: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Lihan Jok menyifatkan Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu sebagai pembela utama kaum Penan di Sarawak.

Beliau menyatakan bahawa isu-isu menyentuh masyarakat Penan seringkali mendapat perhatian Jabu dan mendapat pembelaan daripada beliau dengan serta-merta.

“Beliau (Jabu) adalah orang pertama yang akan tampil jika sesuatu perkara timbul berkenaan dengan masyarakat Penan,” kata Lihan semasa majlis perasmian Pusat Komuniti Penan di Long Beruang, Rabu lepas yang dirasmikan oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu.

Pada masa sama, Lihan turut menyeru masyarakat Penan agar mengambil setiap peluang untuk terus membangunkan diri mereka sendiri supaya tidak dilabel mundur oleh anasir-anasir luar yang tidak bertanggungjawab.

“Saya merayu kepada semua rakan daripada kalangan masyarakat Penan di kawasan Baram ini untuk terus berusaha membangunkan diri dan termasuk juga masyarakat Penan yang berada di kawasan Limbang, Lawas, Belaga dan di mana pun mereka berada,” ujarnya.

Katanya, ada pihak yang terdiri daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang tidak bertanggungjawab, masih melabel masyarakat Penan sebagai golongan yang masih jauh ketinggalan daripada pelbagai aspek.

Oleh itu, menurut Lihan, masyarakat tersebut harus kerap mendekatkan diri dengan kepimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN) bagi menjamin pembangunan serta pada masa sama menjauhkan diri daripada anasir-anasir tidak bertanggungjawab tersebut.

Beliau turut menyatakan bahawa kini sudah terbukti bahawa terdapat individu daripada masyarakat Penan yang telah berjaya dalam kehidupan mereka.

“Ini sebenarnya menunjukkan perubahan yang sudah dapat kita lihat di kalangan masyarakat Penan dan ia adalah sesuatu yang baik,” ujarnya Lihan lagi.

Turut hadir dalam majlis perasmian tersebut adalah Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Jacob Dungau Sagan, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Datu Ose Murang serta Menteri Muda Kesihatan Awam dan Menteri Kemudahan Awam Dr Stephen Rundi Utom.

Anak luar nikah dilahirkan setiap 17 minit

KUCHING: Berdasarkan kajian, seorang bayi luar nikah dilahirkan setiap 17 minit di negara ini, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Dr Mashitah Ibrahim.

Menurutnya, negara sekarang dilanda satu bentuk tsunami apabila didapati terdapat kira-kira 250,000 anak luar nikah yang tidak didaftarkan setiap tahun.

“Kita mendapati terdapat kirakira 250,000 anak luar nikah yang tidak didaftarkan dan jika kita pecahkan kepada bulan angkanya adalah 80,000 atau bersamaan dengan seorang bayi untuk setiap 17 minit.

“Angka ini kalau kita amati adalah sangat menakutkan dan jumlah ini adalah yang kita dapat kenal pasti dan tidak termasuk kes yang tidak kita ketahui,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Sesi Bersama Pemimpin: Perpaduan 1Malaysia di sini, semalam.

Menurutnya, gejala negatif tersebut serta kes pembuangan bayi yang semakin berleluasa adalah disebabkan faktor tidak mampu mengawal nafsu terutamanya di kalangan remaja.

Sehubungan itu menurutnya, hubungan seks dilakukan secara berleluasa yang akhirnya menjurus kepada kelahiran anak luar nikah.

“Hubungan seks kini bukan sekadar berlaku di peringkat pelajar sekolah menengah tetapi apa yang memeranjatkan adalah ia turut berlaku di kalangan murid sekolah rendah.

“Namun yang paling menyedihkan adalah sesetengahnya sempat merakam perbuatan tidak senonoh tersebut dan diedarkan kepada rakanrakan,” katanya.

Menurutnya lagi, antara faktor yang menyebabkan remaja semakin cenderung untuk melakukan aktiviti seksual adalah disebabkan pengaruh internet.

Menurutnya, berbeza dengan zaman dahulu, ibu bapa boleh menghela nafas lega jika anak-anak berada di dalam bilik.

Namun apa yang berlaku pada zaman sekarang adalah hanya jasad anakanak berada di dalam bilik tetapi minda mereka meneroka dunia global melalui internet yang penuh dengan gejala-gejala negatif seperti video lucah tambahnya.

Oleh itu, untuk membendung gejala ini, beliau menggesa agar ibu bapa menanam satu perasaan malu di dalam diri anak masing-masing.

“Kalau dahulu orang Melayu kita kalau mandi pun berkemban kerana perasaan malu yang tinggi dan kita berharap perasaan malu ini dapat ditanam di dalam anak-anak untuk mengelak berlakunya maksiat yang berleluasa,” katanya.

Dalam ucapan yang sama beliau turut menyentuh mengenai perpaduan di mana beliau menasihatkan agar perpaduan dimulakan secara kecil iaitu bermula daripada institusi rumah tangga.

Menurutnya juga, amalan berkongsi adalah asas kepada terciptanya toleransi yang menjurus kepada perpaduan.

Hadir sama semalam adalah Menteri di Pejabat Ketua Menteri Datin Fatimah Abdullah, Mufti Sarawak Ustaz Kipli Yassin dan Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Cawangan Sarawak Nawi Abu Bakar.

Pendapat dalam Washington Times mengenai Anwar

KUALA LUMPUR 22 Julai – Joshua Trevino, penulis ucapan Presiden George W. Bush dari Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Insan dari 2001-2004, berpendapat, Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan lagi rakan dan sekutu berpotensi Amerika Syarikat.

Menulis dalam ruangan pendapat bertajuk “The end of an affection” yang disiarkan dalam Washington Times semalam, beliau berkata, Anwar pada satu masa dulu begitu dihormati rakyat Amerika tetapi “masa itu sudah berlalu”.

"Sedekad lepas, orang Barat yang berfikiran logik dan bermaklumat percaya yang beliau seorang yang memperjuangkan demokrasi Islam yang sempurna dan toleran. Kini beliau hanya seorang pejuang dunia Islam yang cuba mengumpan Yahudi dan anti-Amerika. Amerika dan dunia Islam dan pastinya Malaysia, sepatut tidak diperlakukan sebegitu,” tulisnya.

Trevino, yang sejak sekian lama disifatkan sebagai pemerhati hal ehwal Malaysia, mempersoalkan sama ada adakah Anwar pernah menjadi sekutu atau rakan Amerika, terutamanya dengan pendekatannya yang “retorik antisemitik dalam politik Malaysia.”

Anwar lantang mengutuk tindakan Israel merampas kapal yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza kira-kira enam minggu lepas dan telah mengetuai demonstrasi yang disertai ribuan orang di depan Kedutaan AS di sini pada 4 Jun lepas sebagai membantah tindakan itu.

Pendekatan retorik antisemitik Anwar dalam politik Malaysia sejak dua tahun lepas ternyata tidak dapat diterima oleh B’nai B’rith, pertubuhan perkhidmatan kemasyarakatan tertua Yahudi, yang kemudian pada 25 Mei lepas menggesa pegawai kanan AS menghentikan hubungan dengan Anwar.

Trevino juga membuat perbandingan antara Anwar dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang telah mengutuk Israel kerana merampas kapal berkenaan.

Tetapi penulis itu mendakwa dalam kes itu, Anwar telah “menyerang Yahudi dengan semua perumpamaan klasik antisemitisme - dan beliau pada masa yang sama turut mengutuk Amerika.” – Bernama

Seminar 'Tanah dan Rakyat' anjuran DAP di Kuching tidak diluluskan Polis

KUCHING: Polis mengingatkan orang ramai agar tidak menghadiri seminar "Tanah dan Rakyat" anjuran DAP yang akan diadakan malam Sabtu ini di sebuah restoran dekat pusat komersial BDC kerana tidak memiliki permit.

Ketua Polis Kuching, Asisten Komisioner Mun Kok Kiong, berkata penganjur sudah dimaklumkan bahawa permohonan permit mereka tidak diluluskan dan diarah untuk mencari tempat yang lebih sesuai untuk acara berkenaan.

"Polis sudah menghantar satu surat balas pagi ini atas permohonan permit daripada Chong Chien Jen (Ahli Perlimen DAP Kota Sentosa) dan telah menasihati pihak penganjur agar mencari tempat lain yang lebih sesuai untuk seminar tersebut," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata polis tidak memberi permit untuk seminar berkenaan atas sebab tempat terbabit tidak sesuai dan boleh mengganggu ketenteraman awam dan trafik.

Katanya, polis memberi amaran akan mengambil tindakan undang-undang kepada penganjur dan peserta yang terlibat sekiranya mereka masih lagi meneruskan seminar berkenaan pada hari itu. - BERNAMA

Ariel tetap menafikan aksi dalam video seks

JAKARTA 20 Julai - Ariel terus menafikan penglibatannya dalam video seks yang didakwa membabitkannya, walaupun model dan pengacara jelita, Cut Tari awal bulan ini mengaku dia adalah wanita di dalam video seks tersebut.

"Individu itu bukan Ariel, kita tidak akan mengaku," kata peguam yang mewakili Ariel serta Luna Maya, Afrian Bondjol.

Beliau berkata, pihaknya juga tidak bimbang sekiranya wujud perbezaan strategi dengan peguam Cut Tari, Hotman Paris dalam mengendalikan kes tersebut.

"Itu adalah sebahagian strategi kita dalam kes ini. Jika ada perbezaan kami tidak mempunyai sebarang masalah," ujarnya kepada laman web hiburan Istanaartis.com.

Ketika ditanya tentang soal siasat lanjut dan arahan wajib lapor diri yang dikenakan terhadap Luna Maya, beliau mengakui belum pasti tentang perkata tersebut.

Afrian berkata, beliau tidak sempat mengikuti perkembangan soal siasat Luna kerana bukan sahaja mengendalikan kes selebriti berkenaan tetapi juga kes-kes lain.

"Di pejabat saya ada 120 peguam dan saya tidak hanya mengendalikan kes ini.

"Jika pihak polis meminta untuk menjalankan soal siasat lanjut, kami juga tidak boleh mendedahkan sebarang maklumat tentang prosedur itu," katanya.

Afrian turut mengelak ketika ditanya lebih lanjut tentang kes tersebut dengan berkata: "Saya tidak mahu beri kenyataan kerana takut tersilap cakap." - Agensi

Rompak Bank pakai Bunga

CHELSEA - Polis di Amerika Syarikat (AS) kini menyiasat seorang perompak romantik yang menggunakan jambangan bunga berwarna-warni sebagai senjata untuk merompak bank, lapor sebuah akhbar semalam.

Pada Khamis lalu, perompak itu yang memakai seluar jean, baju-T biru dan tidak bertopeng memasuki sebuah bank di sini sambil membawa sejambak bunga pelbagai warna pada waktu pagi.

Semasa gilirannya berjumpa dengan kerani kaunter bank berkenaan, lelaki tersebut memegang jambangan bunga itu yang mengandungi sekeping nota: "Serahkan semua wang kertas seratus dan lima puluh, jangan cuba untuk menjadi wira".

Setelah menyamun AS$440 (RM1,419), dia meletakkan bunga tersebut di kaunter juruwang dan melarikan diri.

Jambangan tersebut yang mengandungi bunga kekwa kuning, daisi merah dan oren dan beberapa bunga lain kini diperiksa oleh pasukan forensik polis.

Seminggu sebelum itu, suspek yang menggunakan taktik serupa merompak AS$2,325 (RM7,499) dari sebuah lagi bank. - Agensi

source: kosmo

Melayu paling ramai tonton porno

KUALA LUMPUR - Satu kajian terbaru membuktikan remaja Melayu paling ramai melayari laman web lucah sekali gus mendorong mereka terjebak dengan gejala seks bebas berbanding kaum Cina dan India.

Kajian oleh sekumpulan penyelidik Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) Universiti Putra Malaysia itu mendapati 22 peratus remaja Melayu gemar melayari laman web lucah sama ada di rumah mahupun di kafe siber.

Dapatan kajian turut menunjukkan bahawa 15 peratus remaja Melayu suka melepak, menghisap rokok (13.7 peratus) manakala ponteng sekolah dan memaki hamun orang masing-masing 11.5 peratus.

Pengarah IPSAS, Profesor Dr. Md. Salleh Hassan  yang mengetuai kajian itu berkata, bahan pornografi yang terlalu mudah dibeli dan diakses menerusi Internet menjadi punca utama remaja Melayu terjebak dengan gejala tersebut.

Beliau berkata, lebih mendukacitakan, ibu bapa yang ditemu bual tidak mengaku kesilapan anak masing-masing sedangkan si anak mengakui kesalahan salah laku yang dilakukan mereka ketika disoal selidik.

"Dulu, ponteng sekolah yang mendominasi salah laku pelajar tapi kini, mereka yang ditemu bual oleh kumpulan penyelidik kami mengaku lebih suka tengok pornografi dengan ke kafe siber,'' kata Md. Salleh ketika ditemui Kosmo! di sini baru-baru ini.

source: kosmo

PAS tuduh Harussani buat fitnah

KUALA LUMPUR 19 Julai - Dua Naib Presiden Pas hari ini menuduh Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria membuat fitnah serta satu pembohongan besar kepada rakyat Malaysia.

Tuduhan dilemparkan oleh Salahuddin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar itu merujuk kepada kenyataan Harussani bahawa terdapat pemimpin Pas dan UMNO yang menemuinya untuk mendapatkan pandangan bagi menyatukan UMNO dan Pas.

Mereka berkata, selama ini pimpinan Pas tidak pernah mengeluarkan arahan rasmi khususnya di dalam mesyuarat jawatankuasa tertinggi parti supaya menemui Harussani untuk membincangkan isu tersebut.

''Kita tidak pernah keluarkan satu arahan atau ada diminitkan bahawa kita mahu melantik orang tengah apatah lagi dalam urusan untuk bekerjasama dengan UMNO, tidak pernah sama sekali.

''Itu merupakan satu fitnah dan satu pembohongan besar yang ditimbulkan oleh mereka,'' kata Salahuddin pada sidang akhbar di ibu pejabat Pas di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Harussani bahawa orang Melayu akan hilang kuasa pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) jika UMNO dan Pas terus berdegil untuk tidak bersatu.

Mengulas lanjut, Salahuddin berkata, isu kerjasama UMNO dan Pas tidak lagi berbangkit dan ia boleh dianggap sudah tutup buku.

PM Najib akan lawat kawasan terpencil di Sarawak

KUCHING 20 Julai - Long Banga, antara kawasan paling terpencil di Sarawak akan menerima kunjungan Datuk Seri Najib Tun Razak Khamis ini untuk menemui penduduk di situ pada satu majlis pemimpin bersama rakyat.

Perdana Menteri juga dijadual merasmikan Jambatan Sungai Puak di Long Banga, satu kawasan dalam daerah Baram yang hanya dapat dihubungi menerusi jalan balak yang mengambil masa lapan jam dari Miri menggunakan kenderaan pacuan empat roda.

Menurut atur cara lawatannya yang dikeluarkan oleh Jabatan Penerangan Sarawak hari ini, Najib juga dijangka melawat Pekan Bekenu untuk menghadiri satu lagi majlis pemimpin bersama rakyat, diikuti dengan satu program dinamakan "Sentuhan Harapan Petronas" di Stesen Petronas Senadin di bandar Miri.

Pada malamnya, Perdana Menteri akan menghadiri satu jamuan bersama rakyat di stadium tertutup Miri sebelum berlepas ke Kuala Lumpur. - Bernama

Kes liwat Anwar ditangguh 2 Ogos depan

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini sebentar tadi menangguhkan perbicaraan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada 2 Ogos ini selepas peguam utamanya, Karpal Singh tidak sihat.

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah bagaimanapun berkata, mahkamah akan bersidang pada Isnin ini untuk mengetahui sama ada peguam Anwar yang lain boleh mewakilinya sekiranya Karpal masih belum sihat.

Anwar, 63, dituduh kerana meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, 25, di Kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara pada 26 Jun 2008.

source: berita harian

MB: Tak habis-habis ditangguh. Macam-macam masalah...sakitlah, kapal lah... takkan takda kapal lain di Malaysia. kapal selam kan ada...ekekeke. bergurau, takkan tak boleh.

Wawasan 2020 adalah wawasan negara, Kata PM

KUALA LUMPUR 19 Julai - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengiktiraf Wawasan 2020 yang diilhamkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai wawasan negara dan komited untuk mencapai wawasan itu.

"Saya ingin menegaskan di sini bahawa, walaupun Wawasan 2020 telah diilhamkan oleh Tun Mahathir, tapi kita sudah menerimanya sebagai wawasan negara dan sesiapapun selepasnya (Tun Mahathir) adalah komited untuk mencapai Wawasan 2020,” katanya ketika menjawab soalan Senator Muhamad Yusof Husin pada persidangan Dewan Negara di sini hari ini.

Wawasan 2020 telah diilhamkan oleh bekas Perdana Menteri keempat itu ketika membentangkan Rancangan Malaysia Keenam (RMK-6) pada tahun 1991 dalam usaha negara ke arah mencapai status negara maju.

Najib berkata, kadar pertumbuhan ekonomi sebanyak enam peratus setiap tahun boleh dicapai bergantung kepada keadaan faktor dalaman dan luaran yang dilihat kukuh pada tahun ini.

Beliau berkata, jika faktor luaran begitu lemah sepertimana berlaku pada tahun 2009 dengan krisis kewangan global melanda dunia, ia akan menyukarkan negara untuk mencapai kadar pertumbuhan yang tinggi.

"Sebab itu, kita mengandaikan bahawa kita boleh mencapai minima enam peratus, dan mengikut perkiraan kita, kalau kita dapat mencapai enam peratus setiap tahun hingga 2020, kita boleh mencapai status negara maju.

"Kalaulah sesuatu berlaku luar daripada dugaan kita, katalah ada krisis global sekali lagi yang berpanjangan, ini tentu akan membawa kesan buruk untuk kita mencapai matlamat dan impian kita yakni wawasan 2020,” katanya.

Najib berkata, beliau sedia menerima pandangan daripada mana-mana pihak termasuk Dr. Mahathir untuk bersama-sama mencapai hasrat Wawasan 2020. - Bernama

Penjelasan YAB Perdana Menteri Rasional Subsidi Dikurangkan

Pejabat Perdana Menteri


1. Sejak Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak mengambil alih teraju kepimpinan negara pada tahun lepas, kerajaan telah memberi tumpuan kepada usaha-usaha untuk melonjakkan pertumbuhan ekonomi ke tahap yang lebih tinggi.

2. Kita telah membuka sektor-sektor penting dalam ekonomi untuk pelabur asing, menyediakan persekitaran pelaburan yang lebih kondusif, mengurangkan perbelanjaan kerajaan sebanyak 24 bilion, mengurangkan pembaziran dan menangani ketidakcekapan. Hasilnya, kita dapat melihat kebangkitan ekonomi dengan pertumbuhan sebanyak 10.1% dalam suku pertama 2010, pencapaian terbaik kita dalam dekad ini.

3. Ketika mengumumkan Rancangan Malaysia Ke-10, kerajaan telah mengatakan bahawa matlamat negara bukanlah semata-mata untuk mengeluarkan kita dari krisis ekonomi. Cita-cita kita untuk negara dan masyarakat adalah lebih tinggi dari itu. Kita ingin menjadi negara berpendapatan tinggi dan maju, berdaya tahan dan berdaya saing untuk meningkatkan kesejahteraan kerana rakyat.

4. Model Baru Ekonomi (MBE) memperuntukkan cadangan untuk melabur dan mengembangkan sektor strategik yang penting, mengemas kini infrastruktur dan mewujudkan peluang pelaburan bagi sektor swasta yang bertujuan meningkatkan Pendapatan Negara Kasar. Namun begitu, pertumbuhan sahaja tidak akan membantu kita mencapai matlamat MBE. Kerajaan telah menyatakan bahawa kita mesti mengkaji semula pemberian subsidi bagi mengelak herotan dalam dagangan. Ia bagi memastikan subsidi diberikan kepada golongan yang layak dan membolehkan lebih banyak hasil negara digunakan untuk pelaburan yang akan memberikan faedah jangka panjang bagi keseluruhan rakyat.

5. Selaras dengan itu, Kabinet telah mengambil keputusan bahawa berkuat kuasa pada 16 Julai 2010, harga bagi bahan api, terutamanya petrol, diesel dan Petroleum Gas Cecair (LPG), dan juga gula, akan diselaraskan semula sebagai sebahagian dari Program Rasionalisasi Subsidi. Penyelarasan semula harga barang ini akan membolehkan kerajaan mengurangkan perbelanjaannya melebihi RM750 juta untuk tahun ini.

6. Keputusan untuk menyelaraskan harga minyak dan gula ini khususnya diasaskan daripada tiga perkara penting:

a. Pertama, kesemua subsidi ini tidak menepati sasaran – ia memberi faedah juga kepada pihak yang tidak layak, iaitu warga asing dan rakyat yang berpendapatan tinggi yakni mereka yang mampu untuk membayar petrol tanpa subsidi. Fokus kita sepatutnya ialah bagi membantu golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana bukan mereka yang memandu kereta import yang mewah. Subsidi gula yang berlebihan pula memberi faedah kepada industri-industri dan bukannya keluarga. Hampir dua kali ganda subsidi gula ini digunakan oleh sektor perniagaan berbanding isi rumah.

b. Kedua, barangan yang bersubsidi tinggi selalunya membawa kepada aktiviti penyeludupan kerana pemberian subsidi telah menjadikan barangan ini paling murah di rantau ini. Pada tahun 2009 sahaja, ramai penyeludup telah ditangkap ketika cuba membawa keluar lebih 200 tan metrik gula. Sebenarnya, jumlah yang tidak dapat ditangkap kerana penyeludupan ini adalah lebih besar. Diesel terus diseludup dan dijual secara haram di negara jiran. Pihak berkuasa telah meningkatkan pengawalan untuk menghalang penyeludupan, tetapi selagi adanya perbezaan harga yang besar, penyeludup akan terus dengan kegiatan haram ini.

c. Ketiga, kita perlu menukar cara kita menggunakan bahan bakar dan gula. Penggunaan bahan bakar yang berlebihan akan mengurangkan sumber negara dengan cepat dan tidak menyumbang kepada usaha kita melindungi alam sekitar. Dengan 40 peratus rakyat Malaysia yang berlebihan berat badan atau obes – dan peningkatan jumlah penghidap diabetes – kita perlu menangani apa yang dilihat sebagai satu isu kesihatan. Mengurangkan penggunaan gula di kalangan anak-anak khususnya, adalah langkah yang tepat.

7. Ini adalah sebahagian dari sebab kenapa kerajaan memilih untuk menyelaraskan semula harga gula dan bahan bakar. Sebaliknya, subsidi bagi bidang pelajaran dan kesihatan akan terus dipertahankan. Ini adalah bidang perkara yang penting bagi negara di mana kerajaan seharusnya melabur, menyediakan bantuan untuk mengembangkan kemahiran dan membina tenaga kerja untuk masa depan.

8. Keputusan untuk menyemak semula pemberian subsidi ini dibuat bersama rakyat melalui aktiviti yang dijalankan di bawah Program Rasionalisasi Subsidi. Kerajaan telah mengadakan proses perundingan dengan rakyat sebelum membuat keputusan ini. Tidak lagi hanya dengan pembuat dasar di Putrajaya, tetapi beribu-ribu rakyat Malaysia melalui Hari Terbuka Makmal Rasionalisasi Subsidi, undian on-line, undian pesanan ringkas dan borang maklum balas menyatakan sokongan bagi menyemak semula pemberian subsidi secara berperingkat.

9. Berdasarkan proses ini, kerajaan memutuskan harga petrol RON 95 dan diesel akan diselaraskan sebanyak 5 sen seliter bagi semua sektor. LPG akan diselaraskan sebanyak 10 sen sekilogram dan petrol RON 97 akan diapung secara terkawal. Bagi gula pula, harga akan diselaraskan sebanyak 25 sen sekilogram.

10. Walaupun harga barang ini diselaraskan, kerajaan masih lagi membelanjakan lebih kurang RM7.82 bilion setahun untuk subsidi bahan bakar dan gula. Harga bahan bakar dan gula di negara ini masih lagi yang paling rendah di rantau ini walaupun adanya penyelarasan harga ini.

11. Selain itu, penyelarasan harga barang ini akan menyumbang kepada usaha kita untuk mengukuhkan urusan kewangan kerajaan iaitu mengurangkan defisit kewangan negara. Ia membolehkan kita menyediakan perbelanjaan yang lebih kepada sektor yang lebih penting seperti pendidikan dan kesihatan. Ini termasuklah pengumuman kerajaan baru-baru ini bahawa semua pelajar yang mendapat 9A+ dan pelajar miskin yang layak mendapat biasiswa dan meningkatkan perbelanjaan untuk menyediakan kemudahan kesihatan seperti Klinik 1Malaysia, termasuk klinik bergerak 1Malaysia. Selain itu, kerajaan akan meneruskan Projek Penyeragaman Harga Barang Perlu di Sabah dan Sarawak bagi mengurangkan beban rakyat luar bandar.

12. Sebenarnya, penyelarasan harga bahan api dan gula ini adalah yang paling minima berbanding dengan cadangan yang telah dikemukakan oleh Makmal Rasionalisasi Subsidi kerana kerajaan mahu mengimbangi di antara kepentingan rakyat dan keperluan menguruskan defisit negara.

Kaum Melanau Perlu Fokus Kekuatan Ilmu Untuk Terus Maju

KUCHING, 10 Julai (Bernama) -- Kaum Melanau sebagai kaum minoriti di Sarawak perlu fokus kepada kekuatan ilmu untuk membolehkan mereka bersaing maju dengan kaum-kaum lain di negara ini, kata Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud di sini.

Beliau berkata kaum terbabit tidak seharusnya bergantung hanya kepada sokongan kerajaan semata-mata sebaliknya mereka perlu berdikari dan menjadi lebih kreatif dalam mewujudkan lebih banyak peluang untuk berjaya dalam hidup.

"Kaum Melanau perlu lebih yakin untuk berjaya dengan menggunakan kuasa ilmu dan pengetahuan tinggi dengan berkongsi kepakaran bersama-sama kaum lain yang sudah maju," katanya ketika berucap pada majlis berambih keluarga persatuan Melanau Kuching di Wisma Melanau di sini pada Sabtu.

Taib berkata tugas mendidik generasi Melanau yang baru juga tidak seharusnya diserahkan kepada guru dan pendidik semata-mata malah juga peranan keluarga juga penting kerana pendidikan awal bermula di rumah.

Beliau bagaimanapun bangga dengan kejayaan masyarakat Melanau selain kaum Bidayuh dalam mendapatkan peluang kerjaya di kawasan bandar walaupun mereka datang dari kawasan yang terpencil di Sarawak.

Kira-kira 1,000 kaum Melanau yang bekerja dan tinggal di Kuching hadir pada majlis tersebut yang turut menampilkan pelbagai jenis makanan tradisional masyarakat Melanau seperti Linut, Sagu, Tebaloi dan Sesar Unjur.

Kaum Melanau kebanyakan berasal dari wilayah tengah Sarawak seperti Mukah, Matu, Daro, Rajang, Belawai, Balingian dan Bintulu selain telah bermastautin di Miri, Kuching dan Sibu.

source: BERNAMA

Pereka web mengaku memiliki 84 peratus Facebook ?

NEW YORK - Seorang pereka laman web, Paul Ceglia memfailkan satu saman di sebuah mahkamah di sini dengan dakwaan dia memiliki 84 peratus kepentingan dalam laman perkongsian sosial, Facebook, lapor sebuah akhbar semalam.

Menurut Ceglia, dia telah menandatangani satu kontrak dengan pengasas bersama Facebook, Mark Zuckerberg pada 2003 untuk memajukan dan mencipta satu laman web.

Menurut saman itu, berdasarkan kontrak itu, dia mendapat bayaran AS$1,000 (RM3,202) dan 50 peratus saham dalam produk tersebut yang pada akhirnya dilancarkan dengan nama thefacebook.com.

Kontrak itu turut menyatakan bahawa Ceglia akan memperoleh tambahan kepentingan satu peratus pada setiap hari sehingga laman berkenaan selesai disiapkan.

Setakat 2004 dan berdasarkan kontrak itu, dia sudah memiliki 84 peratus kepentingan dalam Facebook. Namun, menurut pihak pengurusan Facebook, saman itu tidak mempunyai asas undang-undang.

Zuckerberg dipercayai memiliki 24 peratus saham dalam Facebook manakala bakinya dimiliki oleh pelabur dan pekerja.

Pada tahun lalu, Zuckerberg dilaporkan membayar AS$65 juta (RM208 juta) kepada dua bekas rakan belajarnya bagi menamatkan satu tuntutan undang-undang bahawa dia mencuri idea mereka untuk mewujudkan Facebook. 

source: kosmo

Pemilik payu dara terbesar kini kritikal

HOUSTON, Texas - Seorang model berumur 28 tahun, Sheyla Hershey yang memiliki payu dara terbesar dunia kelmarin berada dalam keadaan kritikal, lapor sebuah akhbar semalam.

Dia yang juga seorang ibu berada dalam keadaan kritikal selepas menjalani pembedahan payu daranya yang terbaru di sebuah hospital.

Sheyla yang berketurunan Brazil tetapi tinggal di sini menjalani pembedahan itu kerana mengalami jangkitan akibat pembedahan tambahan terbaru payu daranya pada bulan lalu.

Doktor-doktor melakukan pembedahan itu pada pagi kelmarin untuk mengeluarkan implan payu dara. Setakat ini, model itu telah menjalani 30 pembedahan.

Sebelum ini, Sheyla pernah berkata, dia demam dan berasa sakit serta tidak dapat bernafas dengan sempurna selain terpaksa baring di atas katil setiap hari.

Menurut laman web model itu, dia boleh berbahasa Portugal, Sepanyol, Itali dan Inggeris.

source: kosmo

Cut Tari mungkin terlepas...

Cut Tari mungkin boleh terlepas daripada sebarang hukuman mahkamah jika membuat pengakuan dia tidak merelakan aksi seksnya bersama vokalis Peterpan, Ariel, dirakam.
Pakar undang-undang Universiti Indonesia, Rudi Satrio, berkata melalui pengakuan begitu, Cut Tari boleh dianggap menjadi mangsa rakaman curi.

Jika tidak, kata Rudi, penyampai program televisyen yang bersuami dan mempunyai seorang anak itu boleh dikenakan tindakan kerana dianggap merelakan aksi ranjangnya dirakam.

“Melalui akta antipornografi, sesuatu bahan dianggap lucah jika ia dipaparkan kepada umum dengan persetujuan kedua-dua pihak,” katanya, semalam.

Cut Tari adalah seorang daripada dua personaliti televisyen popular Indonesia yang mengadakan hubungan seks dengan Ariel dan rakaman itu kini tersebar.

Selepas beberapa ketika dianggap sebagai saksi, status Cut Tari bersama Luna Maya kini menjadi suspek dan bakal menghadapi beberapa tuduhan di mahkamah.

Ketika mengadakan sidang media Isnin lalu, Cut Tari mengaku dia tidak pernah memberi kebenaran kepada Ariel merakam aksi ranjang mereka.

Kata Rudi, Cut Tari boleh mengelak disabitkan kesalahan jika dia tidak berniat merakam aksi intimnya itu. “Dalam keadaan begitu, pihak kedua boleh dianggap merakam aksi itu secara curi,” katanya.

SPDP cadang kekalkan penyandang

KUCHING: Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) tidak akan menampilkan muka baru pada pilihan raya negeri nanti, sebaliknya mengekalkan barisan sedia ada.

Presidennya, Dato Sri William Mawan Ikom berkata beliau bercadang untuk mengekalkan para penyandang daripada parti tersebut.

Bagaimanapun beliau berkata keputusan akhir akan diteliti oleh pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) untuk mendapat kelulusan.

“Semua YB (wakil rakyat) akan dikekalkan dan dicadangkan untuk bertanding semula, tetapi keputusan akhir sudah tentu ditentukan oleh BN,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Majlis Tertinggi SPDP akan mengadakan mesyuarat dalam beberapa minggu lagi bagi membincangkan hal tersebut dan seterusnya mengemukakan cadangan kepada Majlis Tertinggi BN.

SPDP pada pilihan raya negeri 2006, menang di semua lapan kerusi Dewan Undangan Negeri yang dipertandingkan.

Kerusi Tasik Biru disandang Datuk Peter Nansian Nguse, Krian (Datuk Peter Nyarok Entrie), Pakan (Mawan), Meluan (Wong Judat), Bekenu (Rosey Yunus), Marudi (\Sylvester Entri Muran), Batu Danau (Paulus Gumbang) dan Ba’ Kelalan (Nelson Balang Rining).

Justeru, beliau yakin mampu mengekalkan rekod kemenangan 100 peratus.

“Menang semua. Kita tidak mungkin akan tewas memandangkan kita mempunyai lapan kawasan,” katanya.

Anak Ronaldo bernilai RM730.3 juta

Anak lelaki bintang bola sepak antarabangsa, Cristiano Ronaldo (gambar) yang baru lahir kini bernilai £150 juta (RM730.3 juta), lapor sebuah akhbar semalam.

Bayi berkenaan merupakan satu-satunya pewaris kekayaan pemain bola sepak berusia 25 tahun itu.

Ronaldo yang bermain untuk kelab Sepanyol, Real Madrid, dipercayai membayar sejumlah wang kepada seorang ibu tumpang warga Amerika Syarikat (AS) untuk mengandungkan anaknya.

Mengulas mengenai kelahiran tersebut, saudara perempuan Ronaldo, Katia berkata, pemain bola sepak itu amat gembira selepas kali pertama bertemu dengan bayi seberat 4.2 kilogram berusia tiga minggu, pada dua minggu lalu.

Sebelum ini, beberapa pakar kewangan menganggarkan pemain bola sepak berkenaan bakal mengumpul pendapatan berjumlah £150 juta menjelang penghujung kerjayanya.

"Bayi itu amat bertuah. Jika anda melihat secara keseluruhan, Ronaldo akan memperoleh gaji lebih £100 juta (RM487.5 juta) hanya melalui kontrak enam tahun dengan Real Madrid," kata satu sumber.

"Pendapatan tersebut tidak termasuk perolehan komersial daripada penajaan," tambahnya.

Sementara itu, teman wanita terbaru bintang bola sepak berkenaan, Irina Shayk, 24, dilapor kecewa kerana dia tidak diberitahu oleh Ronaldo mengenai rancangannya untuk mendapatkan anak.

source: kosmo

Wayne Rooney paling hodoh

Selepas gagal di Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan, penyerang skuad England, Wayne Rooney dipilih sebagai pemain paling hodoh di bumi.

Rooney yang juga pemain kelab bola sepak Manchester United mengetaui senarai pemain paling tidak tampan di laman BeautifulPeople.com.

Namun, pemain paling tampan ialah Fabio Cannavaro dari Itali, Fernando Torres dan David Villa dari Sepanyol, Landon Donavan (Amerika Syarikat) dan Thierry Henry (Perancis).

Rakan Rooney, John Terry juga disenaraikan antara 10 pemain paling hodoh di bumi.

Laman itu mendakwa seramai 200,000 orang telah mengundi bagi memilih pemain-pemain berkenaan

Lindsay kena penjara 90 hari

BEVERLY HILLS: Seorang hakim semalam menjatuhkan hukuman penjara 90 hari terhadap pelakon, Linday Lohan selepas mendapati dia bersalah melanggar syarat pengawasan dalam kes arak.

Lindsay juga diarah menjalani program pemulihan selepas dia gagal menghadiri kelas pendidikan alkohol seperti yang ditetapkan dalam syarat pengawasannya. Lindsay menangis sebaik saja keputusan dibacakan.

Hakim Marsha Revel membuat keputusan itu selepas mendengar kenyataan daripada kakitangan sebuah program rawatan alkohol yang sepatutnya dihadiri oleh pelakon itu.

Lindsay tidak hadir sebanyak tujuh kali sejak Disember lalu. Marsha menolak permohonan maaf Lindsay yang dilakukannya secara teresak-esak.

“Saya melakukan apa saya yang diarah dan berusaha sedaya upaya untuk mengimbangi kerjaya dan menghadiri kelas berkenaan,” kata Lindsay kepada hakim berkenaan.

“Saya bukan bercuti. Dan saya bukan mahu berjenaka,” katanya. Marsha berkata, beliau mendapati permohonan maaf Lindsay tidak ikhlas dan membandingkannya dengan ‘seseorang yang menipu tetapi menganggapnya bukan perbuatan menipu jika dia tidak ditangkap.’

Lindsay bagaimanapun tidak ditahan serta-merta. Dia dibenar melaporkan diri untuk menjalani hukuman itu pada 20 Julai tetapi diarah terus memakai gelang pengawas alkohol sehingga tarikh itu.

Jurucakap Mahkamah Los Angeles County, Jane Robinson berkata, bukan perkara luar biasa bagi mahkamah membenarkan defendan menyerah diri pada tarikh lain. Hukuman itu lebih tiga kali ganda daripada penjara sebulan yang dicadangkan oleh pihak pendakwa raya. Bagaimanapun, setakat ini, tidak jelas tempoh sebenar Lindsay akan menghabiskan masa di penjara.

Jurucakap Jabatan Syerif Los Angeles, Steve Whitmore berkata, tahanan wanita yang dipenjara bukan kerana jenayah ganas hanya menjalani seperempat daripada hukuman mereka dan ia boleh dikurangkan lagi.

Menurut Whitmore, Lindsay boleh dibebaskan dan digantikan dengan tahanan rumah tetapi ia akan bergantung kepada arahan Marsha.

Pelakon itu akan kembali ke Penjara Lynwood, tempat dia pernah masuk selama 84 minit selepas mengaku salah mengambil kokain dan memandu dalam keadaan mabuk pada 2007.

source: metro

Tiada laporan wanita Penan dirogol

Tidak timbul soal pihak polis cuba sembunyikan fakta sebenar

KUCHING: Tiada satu pun laporan diterima oleh pihak polis berhubung kes rogol yang melibatkan tujuh wanita Penan seperti yang disiarkan dalam akhbar semalam, kata Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohmad Salleh.

Menurutnya juga, tidak timbul soal pihak polis cuba menyembunyikan fakta sebenar berkaitan kes tersebut.

“Kalau ada benda ni berlaku, datang jumpa kami untuk membuat laporan dan kami akan siasat… saya rasa tak timbul isu polis nak menyembunyikan fakta.

“Setakat ini 10.50 pagi (semalam), satu laporan pun kita tak terima berkaitan dengan masalah orang Penan yang dirogol… setakat ni saya tak dimaklum satu kes pun berkaitan dengan orang Penan dirogol,” jelas Mohmad.

Beliau berkata demikian ketika ditemui setelah selesai Majlis Perhimpunan Bulanan Agensi-agensi Persekutuan di sini, semalam.

Di samping itu, Mohmad turut meluahkan rasa kesal kerana laporan yang sepatutnya dilaporkan kepada pihak polis tidak dibuat mengikut saluran yang sepatutnya.

“Kita bercakap mengenai mekanisme polis untuk menjalankan siasatan. “Jadi, kalau ada benda ni berlaku, datang ke balai polis untuk membuat laporan supaya kami senang siasat.

“Bukannya melalui penyerahan memorandum di bangunan Parlimen yang hendak menggambarkan pasukan polis tidak cekap,” jelasnya.

Menurut Mohmad, beliau tidak mahu kes yang sama berlaku pada tahun 2008 yang turut melibatkan kes rogol wanita Penan.

Menurutnya untuk kes rogol tersebut, pihaknya membuat siasatan ke atas laporan yang dibuat oleh pihaknya sendiri melalui maklumat laporan pertama berdasarkan laporan akhbar.

“Jadi kami tidak mahu kali kedua berlaku macam ni. Kalau betul ada (kes rogol), datang buat laporan dan kami akan siasat. “Kali ini kami minta mangsa tampil ke hadapan untuk membuat laporan,” tegas Mohmad.

Akhbar semalam melaporkan dakwaan rogol terhadap tujuh wanita Penan oleh pembalak di Baram baru-baru ini dan laporan tersebut dikemukakan oleh 36 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kepada Parlimen kelmarin.

Lapan didakwa berhubung video seks Ariel Peterpan

JAKARTA 5 Julai - Polis Indonesia akan mendakwa lapan suspek berhubung skandal video seks selebriti yang mencetuskan kekecohan di negara tersebut dan sehingga timbul desakan supaya Internet dikawal.

Ketua penyiasat, Ito Sumardi bagaimana pun enggan mendedahkan suspek terbabit tetapi berkata, ia tidak melibatkan model dan personaliti TV, Luna Maya, 26, dan Cut Tari, 32, yang didakwa muncul dalam video melibatkan Nazril Ariel, 28.

Ariel, penyanyi kumpulan pop Peterpan telah didakwa di bawah undang-undang anti-pornografi dan masih ditahan sementara menunggu tarikh perbicaraan.

Sumardi berkata, kesemua lapan suspek terbabit didapati memuat-naik dua video lucah ke Internet sehingga mencetuskan skandal nasional di negara itu.

“Mereka akan didakwa di bawah undang-undang transaksi dan maklumat elektronik untuk pengedaran haram,” kata Sumardi, yang jika bersalah mereka boleh dihukum penjara sehingga enam tahun dan didenda sehingga satu bilion rupiah (RM352,000) setiap seorang.

“Siasatan masih dijalankan. Kemungkinan masih ada yang terlibat,” katanya.

Ariel ditahan pada 22 Jun tetapi Luna dan Cut masih dibebaskan sehingga hasil siasatan diperoleh. - AFP

Angelina Jolie belajar bawa pesawat

LOS ANGELES: Demi minat anaknya yang gemar menyaksikan kapal terbang, aktres Angelina Jolie (gambar) meluangkan masa belajar membawa pesawat, lapor media semalam.

Angelina, 35, melakukan semua itu semata-mata untuk memenuhi janji dibuat dengan anaknya, Maddox.

“Ketika Maddox berusia satu setengah tahun, kami pergi makan tengah hari berhampiran lapangan terbang dan dia sangat berminat.

“Jadi, saya berjanji untuk menerbangkan pesawat sebelum dia menyambut ulang tahun kelahiran kedua,” katanya.

Menurut pelakon filem Salt itu, dia memang gemar menaiki pesawat sendirian kerana memberi cabaran tersendiri kepadanya.

“Ia satu-satunya tempat saya bersendirian - jauh di udara dan terpisah daripada semuanya,” katanya.

Bukti kes Luna Maya kian kukuh

Bukti bahawa pengacara televisyen terkenal, Luna Maya terlibat dalam video seks dengan kekasihnya, Ariel Peterpan semakin kukuh, lapor sebuah akhbar semalam.

Dakwaan itu dibuat oleh seorang penyelidik dari sebuah pejabat polis di sini yang menyatakan bahawa Luna Maya masih mempunyai tatu di pinggul kirinya sama seperti yang terdapat pada seorang wanita mirip dirinya dalam video berkenaan. menurut penyelidik itu, tatu itu bukan seperti lukisan kupu-kupu tetapi ia merupakan ikan lumba-lumba.

Setakat ini, Ariel masih ditahan polis sebagai suspek pengedaran video lucah yang menunjukkan seorang lelaki miripnya bersama seorang wanita seperti Luna Maya.

Namun, Luna Maya dan Ariel menafikan mereka sebagai wanita dan lelaki dalam video tersebut.

Anwar terperangkap permainan politik sendiri

PASIR MAS 2 Julai - Tindakan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Amerika Syarikat (AS) bagi menjernihkan hubungannya dengan tokoh Yahudi membuktikan beliau sanggup melakukan apa sahaja bagi mendapatkan talian hayat untuk menyelamatkan karier politiknya yang semakin tergugat.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, beliau sendiri tidak terkejut dengan perkara itu kerana menganggap Anwar telah terperangkap dengan permainan politiknya sendiri.

"Saya langsung tidak terkejut bila Anwar ke AS dan bertemu pemimpin-pemimpin Yahudi kerana beliau hendak memperbetulkan kesilapannya yang telah mengguris hati mereka.

"Di Malaysia dia telah menggunakan perkataan 'pencerobohan Zionis' dan membangkitkan isu Apco Worldwide (Apco) menyebabkan kawan-kawan dia di sana marah jadi dia pergi ke sana untuk jelaskan isu itu," katanya ketika ditemui di sini malam tadi.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan sebuah laman web berhaluan kanan, The Evangelical Outpost yang memetik pendapat golongan kapitalis dan konservatif, Rachel Motte menganggap, Anwar adalah seorang pemimpin yang tidak mengenang budi.

Motte dilaporkan berkata, Anwar adalah pemimpin yang memperjuangkan imej pro Barat ketika di luar Malaysia tetapi untuk mendapat sokongan Melayu beliau mula bersikap anti-Yahudi dan anti-Amerika.

Pandangan Motte itu dilaporkan selepas kolumnis terkenal berbangsa Yahudi, Jackson Diehl dalam tulisannya di akhbar The Washington Post bertajuk Flirting with zealotry in Malaysia (Bermain dengan kefanatikan di Malaysia) baru-baru ini menyatakan bahawa Anwar telah menjejakkan kaki ke AS pada 23 hingga 26 Jun lalu bagi 'menjernihkan' hubungan dengan tokoh-tokoh Yahudi di situ.

Diehl dalam tulisannya mendakwa Anwar telah menyatakan kekesalannya kerana menggunakan istilah seperti "pencerobohan Zionis," untuk menggambarkan kekejaman Yahudi di Palestin yang biasanya digunakan oleh Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad.

Ibrahim berkata, Anwar bukan sahaja akan berjumpa dengan pemimpin-pemimpin Yahudi dan AS untuk mendapatkan bantuan sebaliknya sesiapa sahaja yang sanggup memberikan ehsan akan ditemuinya.

Video Bunga Citra Lestari belum dapat dipastikan

Pakar teknologi maklumat dan komunikasi, Abimanyu Wachjouwidadjat berkata, dia masih belum dapat menganalisis video lucah melibatkan vokalis Nazriel Irham alias Ariel dan Bunga Citra Lestari (gambar), yang dikatakan tersebar luas di Menado, Sulawesi Utara.

"Pihak polis sendiri sudah mengatakan ia tidak benar, tetapi kalau laporan media mengatakan sudah ada yang dijual, agak rumit masalahnya. Oleh itu, kita memerlukan kesahihan sama ada ia benar atau tidak," katanya hari ini.

Dia yang pernah mengulas mengenai video lucah yang didakwa melibatkan Ariel, Cut Tari dan Luna, menyatakan tidak mahu terburu-buru membuat spekulasi kerana bidang teknologi maklumat dan komunikasi tidak melibatkan telahan.

Katanya lagi, jika media melaporkan video Ariel-Bunga itu 30 peratus menyerupai kedua-dua artis itu, ia perlu dikaji kerana penggunaan sistem pengenalan wajah tidak dapat memberikan peratusan dan hanya dapat menyatakan benar atau salah sahaja.

"Peratusan hanya dapat dibuat dengan perbandingan imej antara video dan gambar sebenar orang yang terlibat," ujar Abimanyu.

Tambahnya, buat sementara itu video melibatkan Bunga dan Ariel itu terlalu tidak teratur untuk diulas disebabkan ia berada dalam bentuk cakera padat video (VCD).

Sementara itu, suami Cut Tari, Johannes Joesoef turut disoal siasat polis semalam, berhubung video lucah yang didakwa dilakonkan isterinya dengan penyanyi Peterpan itu.

Ia disahkan oleh jurucakap Polis Kebangsaan, Brigedier Jeneral Zainuri Lubis namun dia tidak memberi perincian mengenainya. Menurut Zainuri, polis masih menetapkan Ariel sebagai suspek sementara Luna dan Cut kekal sebagai saksi kes tersebut.

Mayat berasap

AMPANG: Seorang wanita dipercayai warga Belgium ditemui rentung berhampiran keretanya di bahu jalan berhampiran rumah pam milik Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) Menara Mutiara, Ampang, di sini, petang semalam.
Dalam kejadian jam 3.30 petang itu, mangsa ditemui dalam keadaan mengerikan dengan rentung hampir 90 peratus.

Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan, berkata mangsa dijumpai kakitangan Syabas yang kebetulan datang ke rumah pam berkenaan bagi memeriksa tahap tekanan air sebelum menghubungi polis.

“Kakitangan itu curiga selepas melihat ada sebuah kenderaan jip jenis Suzuki di bahu jalan berhampiran rumah pam itu sedangkan kawasan ini adalah agak sunyi dan berhampiran hutan.

“Dia cuba mendekati jip terbabit dan terkejut sejurus melihat satu mayat dalam keadaan rentung dan masih berasap dipercayai baru dibakar,” katanya.

Katanya, hasil siasatan lanjut ke atas nombor pendaftaran jip itu mendapati ia milik seorang wanita warga Belgium berusia 40-an. Polis tidak menolak kemungkinan mayat yang rentung itu adalah wanita berkenaan.

“Bagaimanapun, kita (polis) masih mengesan pemilik jip terbabit. Mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk bedah siasat.

“Melalui pemeriksaan anggota forensik, dipercayai mangsa dipengsankan atau dibunuh sebelum dibakar. Mangsa kemungkinan dibakar antara jam 9 pagi dan 3.30 petang,” katanya ketika ditemui di sini.

Polis turut menemui satu pemetik api dan sebotol mineral yang dipercayai diisi minyak tanah berhampiran kawasan mayat mangsa ditemui. 

source: metro

Teman wanita dicegah dekati anak Woods

FLORIDA: Proses perceraian Tiger Woods dan isteri, Elin Nordegren hampir sselesai. Menurut laporan, terdapat banyak syarat yang ditetapkan pada bintang golf berusia 34 tahun itu.

Dalam perjanjian perceraian yang dijangka mencatat rekod baru itu, Woods dilapor dilarang mendedahkan anak mereka kepada sebarang teman wanitanya.

Klausa dalam perjanjian berkenaan menetapkan, tidak ada wanita yang ada kaitan romantik dengan bintang golf itu dibenarkan berada hampir dengan Sam, tiga dan Charlie, setahun, kecuali Woods mengahwini wanita berkenaan.

“Elin begitu terdesak untuk melindungi kanak-kanak itu daripada sikap kaki perempuan bapa mereka,” kata satu sumber kepada akhbar The Sun. Elin, 30, dijangka menerima pampasan perceraian tertinggi pernah dicatatkan dalam sejarah - AS$750 juta (RM2.6 bilion).

Selain itu, dia juga akan memperoleh rumah mereka di Windemere, Florida, dan sebuah lagi yang dimiliki Woods di kawasan yang sama. Hartanah yang mereka miliki di Sweden juga akan diserahkan kepada Elin.

Woods pula akan mendapat Jupiter Island, rumah di Florida yang masih dalam pembinaan dan dikatakan bernilai AS$80 juta (RM2.8 bilion) dan apartmen di Los Angeles.

Elin, warga Sweden dilapor sudah bersedia mengemukakan tuntutan cerai di Mahkamah Orlando County, dalam masa seminggu lagi.

source: metro

2 ahli Geng Lombok diberkas

BATU PAHAT 29 Jun - Jika sebelum ini lelaki Lombok dikenali kerana kemampuan memikat dan 'melarikan' anak gadis tempatan, kini 'populariti' mereka berkembang ke kegiatan samun pula.

Buktinya, dua daripada lima lelaki yang digelar Geng Lombok berjaya ditahan polis, kurang 10 jam selepas cuba menyamun sebuah keluarga di Parit Haji Arif, Sri Medan di sini pada 19 Jun lalu.

Kumpulan itu dipercayai bertanggungjawab melakukan sekurang-kurangnya 11 kes samun bersenjata di Yong Peng, Ayer Hitam, Sri Medan, Ledang dan Segamat.

Timbalan Ketua Polis daerah, Supritendan Adnan Azizon berkata, dalam kejadian terbaru, semua suspek bertindak menyamun sebuah rumah, kira-kira pukul 5 pagi.

Katanya, tiga daripada mereka memecah masuk rumah tersebut manakala dua lagi berkawal di luar.

"Ketika itu, tiga anak pemilik rumah yang berusia tujuh hingga 15 tahun tidur di ruang tamu manakala pemilik rumah dan isterinya tidur di dalam bilik.

"Suspek lalu memecahkan pintu bilik menyebabkan isteri pemilik rumah itu terkejut lalu menjerit ketakutan.

"Jeritan mangsa didengari jiran-jirannya yang kemudian datang untuk membantu," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, panik dengan kehadiran penduduk, kumpulan penjenayah itu melarikan diri tanpa sempat mengambil hasil.

Adnan berkata, dengan bantuan anjing pengesan dan penduduk, polis berjaya menahan dua suspek di kawasan kebun sayur, Kampung River Estate di Yong Peng di sini, pukul 2.40 petang hari yang sama.

Dua pekerja Indonesia dipenjara dan sebat kerana cederakan rakan

SIBU: Mahkamah Sesyen semalam menjatuhkan hukuman lapan bulan penjara dan tiga sebatan terhadap dua pekerja ladang warganegara asing atas tuduhan mendatangkan kecederaan parah kepada rakan sekerja mereka, 22 Jun lepas.

Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, M. Rajalingam menjatuhkan hukuman itu setelah mengambil kira kepentingan awam serta sebagai pengajaran kepada orang lain agar mematuhi undang-undang negara ini.

Katanya, meskipun kedua-dua tertuduh merupakan warganegara asing dan bekerja di sini, mereka perlu mematuhi undang-undang negara serta tidak mengambil tindakan sesuka hati.

Tertuduh, Afred Tepi, 29, dan Imeneul Lakapu, 26, didakwa mendatangkan kecederaan parah dengan senjata berbahaya ke atas Yonathan Foeney di sebuah ladang kelapa sawit pada 22 Jun lepas, kira-kira jam 11.15 pagi.

Bagi kesalahan itu, kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 32, Kanun yang sama. Seskyen 326 memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan.

Berdasarkan fakta kes, kedua-dua tertuduh telah bergaduh dengan Yonathan selepas mangsa menyuarakan rasa tidak puas hati apabila diberikan kerja yang banyak berbanding kedua-dua tertuduh.

Tidak senang dengan aduan itu, satu pergaduhan telah berlaku dan kedua-dua tertuduh telah mengambil parang serta menetak mangsa di bahagian belakang kepala.

Pihak pengurusan ladang yang dimaklumkan mengenai kejadian, kemudian menjalankan pemeriksaan dan menjumpai mangsa terbaring berlumuran dengan darah.

Siasatan lanjut kemudian mendapati kedua-dua tertuduh terbabit dengan kejadian dan dibawa ke balai polis untuk membantu siasatn lanjut.

Wanita kuasai dunia selebriti

NEW YORK: Wanita menguasai tiga daripada lima tempat teratas dalam senarai Selebriti Paling Berpengaruh 2010 yang dikeluarkan majalah Forbes, semalam.
Penyanyi, Lady Gaga, buat pertama kali termasuk dalam senarai berkenaan sementara Oprah Winfrey menguasai semula tangga nombor satu.

Oprah, pengacara rancangan sembang, memperoleh pendapatan kira-kira AS$315 juta (RM1.1 bilion) untuk membolehkannya menduduki tempat teratas senarai berkenaan untuk kali keempat.

Dia mengambil alih kedudukan itu semula daripada pemenang tahun lalu, Angelina Jolie yang jatuh ke tangga ke-18 dalam senarai kali ini.

Cut Tari beri keterangan kepada polis isu Video Seks

JAKARTA - Pengacara terkenal, Cut Tari bertindak mendiamkan diri apabila pihak media mengajukan soalan mengenai sesi soal siasat yang berlangsung selama 10 jam di sebuah pejabat polis di sini berhubung rakaman lucah yang melibatkan individu miripnya dan Ariel Peterpan, lapor sebuah akhbar semalam.

Cut Tari yang ditemani suaminya Johannes Joesoef Subrata kelihatan terburu-buru untuk beredar bagi menghindarkan diri daripada dikerumuni pihak media. Tidak banyak komen yang dikeluarkan oleh pengacara itu.

PENAFIAN

Anda dinasihatkan agar tidak mengakses atau menggunakan sebarang maklumat di MELANAU BLOGGER™ jika terdapat ketidaksesuaian. Sila tinggalkan laman ini dengan serta-merta.

Semua catatan di blog ini hanyalah pandangan peribadi dan tidak mewakili mana-mana pihak atau parti politik.

Admin blog MELANAU BLOGGER™ tidak bertanggungjawab kepada anda, atau sesiapa sahaja yang membuat sebarang tuntutan bagi kehilangan, kemusnahan (secara langsung atau tidak langsung), kos, liabiliti atau gantirugi terhadap ketidaktepatan, hakcipta serta kesilapan maklumat atau media yang terdapat dalam blog ini.

(since august 2009)


PERHATIAN

Kepada rakan-rakan blogger, jika link blog anda belum dipautkan atau telah tericir, sila tinggalkan pesan diruangan komen, agar saya dapat memautkan link rakan-rakan.
terima kasih.

review www.melanaublogger.com on alexa.com